Jatuh yang tidak ada orang simpati
ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga
atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak ada siapa
pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak
cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang
yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta yang begaimana
boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka
lantaran kerana cinta?
Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. hati
yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya.
Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.
Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering
melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti
sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat
bersarang dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan
jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan
nafsu. termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab
jatuh cinta pun ikut selera nafsu.
Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya
hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada
pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu
seks lelaki kepada perempuan. begitu juga wanita, jatuh cinta sebab
lelaki kaya, handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan
yang disenangi oleh nafsu. lantas cinta diberi dengan harapan mereka
dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya,
cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu
semata-mata.
Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya
kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan
rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan,
berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan..
Ketika itu tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai.
Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak
malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi
mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa
saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.
Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan
cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk
memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila
yang perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya.
habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang
sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri
seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami
Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu
ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang
dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri,
kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap.
Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah
kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.
Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia
tetap akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri
masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila
isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih
dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur,
maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus
hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami
apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain,
lagilah isteri terseksa.
Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan
dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang
padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau
suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami.
Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja
tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya
berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit,
suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami.
Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur
perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana
waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh
merendahkan wanita, jangan marah tau.
Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.
Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta
yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan
mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta
diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya.
Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari
sama-sama cinta pada Allah.
Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan,
lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri,
sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan
Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.
Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh
tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap
atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta
mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu
ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah kenal atau baru
kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang
dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup
susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.
Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki
yang bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka
akan mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari
di mana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari
yang sejengkal saja dari
kepala.
Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh
ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama
ada waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada
suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada
suami tidak belah bagi. salah satu contohnya penderitaan mengundang
bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari
ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda
rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.
Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau
tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap
dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan
tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau
cinta itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang
paling layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain.
Sebagaimana Rasulullah lebih mencintai Aisyah kerana taqwa Aisyah lebih
tinggi dari istei-isteri lain. Rasulullah saw akui sendiri hanya
bersama Aisyah saja, dalam satu selimut baginda pernah diberi wahyu.
Tapi tidak pernah berlaku semasa baginda satu selimut dengan
isteri-isteri yang lain.
Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling
tinggi dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan
cinta pada makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang
isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan
ketaatan pada Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah
tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk
laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa
kehilangan suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada
Allah. Sebaliknya kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta
pada Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi
datang dari nafsu.
Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk
melanggar perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun.
Seorang yang sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi
kecil dan rendah padanya.
Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu
Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi
Yusuf, dia sanggup hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila
Nabi Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga
terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf masuk penjara.
Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada Yusuf.
Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia
bertukar dari seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang
hodoh. Matanya buta kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya
habis dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas
kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf
mengahwini Zulaikha setelah Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan
kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya, bila Zulaikha
mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya
dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir
wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang
berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan
sembahyangnya, hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas
ditariknya baju Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zilaikha pernah
menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.
Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan
bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang
tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu
di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.
Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah.
Kerana cinta lahir bersebab. kalau wanita cinta pada lelaki kerana
kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana
cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal
akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah kerana segala
kenikmatan itu datangnya dari Allah.
Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja yang mengasihi
dan mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah.
Kebaikan, kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan
kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang
lainnya cinta pada kita. Walhal Allah boleh bila-bila masa menarik
balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah mahu.
Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita
berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi.
Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap
diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita
terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:
“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung.”
Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi
rezeki, suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang dengannya kita
boleh lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita
kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan
terimakasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah
dan menyenangkan kita dengan kehendaknya.
Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. malah
kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah.
Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah
sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan
untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu
mendalam cinta pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan,
aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana
Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”
Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam
munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk
dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak
ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.
Ada orang mangatakan: “jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada
manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya . tapi kalau hati yang
pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan- Nya.
Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan
orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.”
Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang
besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain
di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan
di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang
patut kita letakkan.